Chegu Bard Dipanggil Beri Kenyataan Isu Rogol Membabitkan Anak Menteri

KUALA LUMPUR: Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, mengesahkan dirinya dipanggil pihak polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rogol yang dikaitkan dengan seorang anak menteri.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sekitar jam 10 pagi tadi bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sesi rakaman keterangan selesai sekitar jam 11.30 pagi.

Chegu Bard juga memaklumkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) susulan kenyataannya mengenai kes yang melibatkan anak seorang menteri.

“Ini berkaitan dengan kenyataan saya mengenai anak Menteri Dalam Negeri yang didakwa menyerang seorang wanita. Ia mungkin isu peribadi, tetapi dalam konteks ‘rule of law’, apabila ada laporan polis dibuat, siasatan perlu dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang anak menteri mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab.

Insiden ugutan tersebut dilaporkan berlaku ketika perbincangan antara anak menteri berkenaan, wanita tersebut, dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Butterworth pada 24 Disember tahun lalu.

Susulan laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes tersebut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 6 Januari lalu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, turut mengesahkan rakaman keterangan membabitkan Chegu Bard.

“Ya, betul, polis telah mengambil keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya ketika dihubungi media.

BBerkaitan

Latest articles