Perintah Gaji Minimun RM1,700 Bermula Esok

KUALA LUMPUR: Perintah gaji minimum baharu pada kadar RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai esok.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) perintah kadar gaji minimun yang memanfaatkan 4.37 juta pekerja itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.

Ia termasuk majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja digajikan majikan.

“Bagi majikan menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan.

“Hal ini bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing,” kata KESUMA dalam kenyataan.

Langkah berkenaan bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi Madani menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” menurut kenyataan.

Kementerian turut menegaskan semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah gaji minimum itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.

“Kegagalan majikan mematuhi perintah gaji minimum merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” katanya.

Kementerian itu turut mengingatkan gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.

“Pelaksanaan perintah gaji minimum ini merupakan satu daripada pendekatan besar kementerian dalam meningkatkan pendapatan kaum pekerja, selain pelaksanaan dasar gaji progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.

“Dengan pelaksanaan yang berkesan, bukan sahaja pendekatan ini dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai perintah gaji minimum baharu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://minimumwages.mohr.gov.my/ dan bagi sebarang pertanyaan, majikan atau pekerja boleh emel kepada [email protected].

BBerkaitan

Latest articles