KUALA LUMPUR: Afdlin Shauki menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa jua unsur salah laku dalam perolehan projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Susulan itu, Afdlin yang juga Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, berkata dia telah membuat laporan polis terhadap tuduhan salah laku tersebut.
“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.
“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa,” katanya dalam kenyataan di Instagram.
Beliau juga maklum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melakukan siasatan dalaman.
“Oleh itu, saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.”
Pada 28 Jan, seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, namanya disalahgunakan dalam hantaran media sosial mendakwa seorang Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur terlibat dalam penganugerahan projek bernilai RM4 juta tanpa tender terbuka.
Kontroversi itu berkisar dakwaan bahawa projek penerbitan DBKL bernilai RM4 juta dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik ‘kroni’ ahli lembaga penasihat itu tanpa melalui proses tender yang sewajarnya.
Hantaran itu mendakwa, Anwar dan setiausaha politiknya, Azman Abidin, maklum tentang projek-projek dipohon ahli lembaga penasihat itu, mendorong pengarah DBKL mempercepat kelulusan.