KUALA TERENGGANU: Sebanyak 34 serpihan tulang manusia ditemukan di kawasan semak belakang kuarters terbiar milik Jabatan Kerja Raya (JKR) berhampiran Pantai Batu Burok 2, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut sekitar jam 10.10 malam sebelum pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu digerakkan ke lokasi.
“Serpihan tulang itu ditemukan di kawasan semak berhampiran longkang kering, kira-kira 40 meter dari gigi air ketika air pasang,” katanya, seperti dipetik Berita Harian.
Beliau menambah bahawa semua serpihan tulang yang dikumpulkan akan dihantar ke Unit Patologi dan Jabatan Kimia bagi tujuan analisis lanjut.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kawasan tersebut merupakan tapak perkuburan lama atau milik persendirian.
“Identiti mangsa hanya dapat dikenal pasti selepas pemeriksaan perubatan dan kimia dilakukan, termasuk menentukan jantina serta tempoh kematian,” katanya.
Pihak berkuasa kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca penemuan tersebut.