Ibu Minta Bantuan Kesan Anak Perempuan Lari Ikut ‘Tomboy’, Beri Alasan Mahu Berdikari

KUALA LUMPUR: Seorang wanita membuat laporan kehilangan anak perempuannya yang berusia 22 tahun sejak 6 Januari lalu, dipercayai mengikut seorang rakan yang berperwatakan seperti lelaki ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata kehilangan Siti Nurfatin Syuhada Shahrul Aizom disedari ibunya yang juga pengadu selepas dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya bahawa mangsa keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.

Pengadu kemudian menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp bagi bertanyakan keberadaan anak bongsunya itu.

“Anaknya membalas, hanya keluar sekejap dan mahu bersendirian, sebelum menghantar mesej lain menyatakan ingin berdikari selain mahu membuktikan dia mampu berdikari.

“Sehingga hari ini, pengadu cuba menghubungi anaknya tetapi tiada sebarang respon sebelum hadir ke balai polis pada 26 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, gadis berkulit cerah dan berketinggian 160 sentimeter itu juga pernah memaklumkan kepada keluarganya mahu bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya, pengadu mengesyaki anak perempuannya itu melarikan diri mengikut individu yang dikenali sebagai Farah.

“Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan wanita muda itu yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

“Pakaian terakhir yang dipakainya adalah baju-T lengan panjang berwarna hitam dan berseluar palazzo biru tua, bertudung warna hitam dan berkasut sukan berwarna putih,” ujarnya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini di talian 018 3868234 untuk membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles