MCA Jamin Tiada Lagi Perkara Yang Menyinggung Orang Islam Di Masa Akan Datang

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sekali lagi memohon maaf berhubung hantaran Facebook oleh pentadbir akaun MCA Johor yang didakwa menghina dan memperlekehkan agama Islam.

Menurut Ka Siong, insiden itu berpunca daripada kekhilafan pentadbir yang sudah lama bersara daripada parti, dan hantaran tersebut dibuat tanpa pengetahuan kepimpinan MCA Johor. Bagaimanapun, tindakan segera telah diambil dengan memadam hantaran berkenaan.

“Individu terbabit mengakui kesilapan kerana berkongsi status daripada pihak lain, yang sebenarnya bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin parti.

“Kejadian ini berlaku tiga hari lalu, dan sebaik saya mengetahuinya, tindakan segera telah diambil. Saya juga telah menegur pihak terlibat dan MCA Johor telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya sekali lagi memohon maaf atas kekhilafan ini, dan kami akan memastikan perkara yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam tidak berulang lagi,” katanya kepada media pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA, hari ini.

Terdahulu, MCA Johor telah tampil memohon maaf kepada umat Islam selepas hantaran di akaun Facebook rasmi mereka dikatakan memperlekeh agama Islam. Hantaran itu dibuat tanpa sengaja oleh pentadbir akaun pada hari sebelumnya.

Dalam hantaran tersebut, MCA Johor membandingkan bantuan kerajaan kepada rakyat Palestin, peruntukan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan percetakan al-Quran, dengan keputusan tidak memberikan tol percuma sempena Tahun Baru Cina.

Perbandingan itu mencetuskan kecaman kerana dianggap berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.

BBerkaitan

Latest articles