Cecelia Yap Tampil Mohon Maaf Berhubung Isu Hina Agama Islam

KUALA LUMPUR: Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Cecelia Yap Song hari ini memohon maaf berikutan hantaran di media sosial yang didakwa menghina agama Islam berhubung isu ‘ham’, baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Saibullah M.V. Nathan & Co.

Cecelia turut mengakui komen yang dimuat naik di hantaran Facebook pelawak Harith Iskander tidak sensitif dan menyinggung perasaan umat Islam.

“Saya amat kesal bahawa komen saya yang tidak sensitif telah menyinggung perasaan ramai pihak. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini pada masa akan datang,” katanya.

Menerusi kenyataan yang sama, Cecelia turut berjanji untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Hantaran kontroversi itu dikaitkan dengan jenaka Harith Iskander berhubung isu sandwic ‘ham & cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya tanpa perakuan halal.

Harith secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ apabila mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’, yang kemudian mengundang komen Cecelia yang dianggap menghina.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa siasatan terhadap kedua-dua individu tersebut sedang dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BBerkaitan

Latest articles