Polis Turut Nasihat Kunjungan Pesawah ke Putrajaya Ditunda

PETALING JAYA: Polis menasihatkan penganjur kunjungan lebih 1,000 pesawah ke Putrajaya esok agar mempertimbangkan tarikh lain, berikutan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan sempena Lawatan Negara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata nasihat ini diberikan bagi mengelakkan kesulitan kepada peserta kunjungan yang berkemungkinan perlu melalui prosedur keselamatan yang ketat.

“Polis menghormati hasrat para peserta kunjungan tersebut, namun menasihatkan mereka memilih tarikh dan waktu lain. Ini bagi memastikan penyelarasan tugasan dan aturan keselamatan dapat dilakukan dengan lebih baik, terutama untuk menjamin keselamatan Presiden Republik Indonesia berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, langkah ini bertujuan mengelakkan kesulitan kepada para pesawah serta mengelakkan pandangan negatif terhadap pihak polis sekiranya peserta terpaksa melalui kawalan ketat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa kumpulan pesawah itu merancang menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya. Antara tuntutan mereka adalah kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,800 bagi setiap satu tan metrik.

Namun, acara tersebut bertembung dengan Lawatan Negara Presiden Indonesia yang turut disertai menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Razarudin menjelaskan bahawa pihak polis telah membuat persiapan rapi bagi memastikan lawatan rasmi itu berjalan lancar tanpa sebarang ancaman.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perkara ini demi memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

BBerkaitan

Latest articles