KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan PBT masing-masing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata hal ini bagi menjaga keharmonian semua pihak.
“Kita nak jaga keharmonian semua. Jadi, kita akan kekalkan status quo untuk waktu ini. Jangan lupa itu bukan perniagaan (minuman keras) yang tidak sah di undang-undang dan mereka ada lesen untuk menjalankan perniagaan tersebut.
“Yang tak boleh minum (arak) jangan beli tapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum untuk beli,“ katanya lapor Malaysiagazette pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning di Ipoh.
Katanya, perpaduan rakyat ketika ini sudah berada di landasan yang betul dan semua pihak seharusnya fokus terhadap usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang disanjung di pentas dunia.
“Sebab itu saya sentiasa berikan nasihat, kita jangan hilang fokus dengan isu-isu remeh yang tidak membina.
“Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ianya tidak membantu sesiapapun hanya merugikan semua pihak,” ujarnya.
Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar larangan penjualan minuman keras dan akan membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Menurutnya, pelaksanaan larangan menjual minuman keras di Gugusan Manjoi telah dikuatkuasakan sekitar tahun 2000 dan 2021 susulan bantahan besar-besaran oleh penduduk setempat.