KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai hubungan baik yang berlangsung antara Malaysia dan China yang bukan sekadar terhad terhadap perdagangan dan pelaburan.
Berucap di majlis anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China sempena Sambutan Tahun Baharu Cina, Anwar menegaskan hubungan kedua-dua belah negara berlangsung atas Kerjasama ekonomi.
Malah, keperluan membina persahabatan, berdasarkan kepercayaan dan saling hormat-menghormati, diberi perhatian dalam perbincangan bersama Presiden China, Xi Jinping, katanya.
“Kita raikan persahabatan ini.
“Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon dan bunga-bungaan’” katanya dalam majlis yang berlangsung di KLCC, malam tadi.
Mengulas mengenai perayaan Tahun Baharu Cina, Anwar berkata ia menyatukan rakyat daripada semua komuniti dan negeri.
“Ia mencerminkan komitmen kita terhadap keharmonian dan penghargaan,” tegas Anwar.
Anwar mengangkat usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong China, dan berharap ia akan memupuk pertukaran budaya yang bermakna dan mengukuhkan ikatan kedua-dua negara.
Turut hadir di sambutan malam tadi Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, di samping Menteri Tiong King Sing dan rakan sejawatan dari China, Sun Yeli.