KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan mengenai isu beras putih tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata pertemuan akan dibuat pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat bulan depan.
“Kita tidak boleh mengumumkan semudah-mudah begitu sebelum melalui kajian yang teliti.
“Perbincangan dalam minggu pertama Parlimen, kena ikut masa Perdana Menteri, kami akan bincang dan sudah tentulah akan proses-proses yang ada,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Tahunan Amanah 2024, hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu, Mohamad segala persoalan mengenai isu beras putih tempatan akan turut dijawab di Dewan Rakyat nanti.
“Kita sedang membuat libat urus dengan lebih panjang dan semasa sidang Parlimen ini saya akan menjawab apa-apa pertanyaan yang timbul dan kita juga akan berbincang dengan Pengerusi NACCOL.
“Pengerusinya Pendana Menteri bukan yang diberitakan sekarang ni, kita akan bincang dengan Pengerusi NACCOL dan dengan petunjuk beliau, kita akan buat perubahan-perubahan,” katanya lagi.