Kabinet Setuju Pengurangan Tol 50 Peratus Sempena Tahun Baharu Cina – Nanta

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, potongan tol itu akan bermula pada 12.01 tengah malam, 27 Januari (Isnin) dan berakhir pada 11.59 malam, 28 Januari (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Katanya, pengurangan tol 50 peratus ini dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.

“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil daripada program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nanta, pengurangan ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.

“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaik-baiknya dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang.

“Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberikan isyarat awal sebelum memasuki lorong yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling,” tambahnya.

Nanta turut menyarankan pengguna supaya menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), iaitu:

Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia
X (Twitter): @LLMtrafik
TikTok: @llmtrafik
Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau bantuan.

“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles