Kastam Rampas 77 Tan Daging, Makanan Sejuk Beku Bernilai RM1.4 Juta di Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 77,059 kilogram daging dan makanan sejuk beku bernilai anggaran RM1.4 juta dalam dua operasi berasingan di Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, memaklumkan bahawa serbuan pada 9 dan 12 Disember lalu melibatkan tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan satu kontena di Pelabuhan Utara.

“Pemeriksaan mendapati kontena-kontena tersebut mengandungi pelbagai jenis daging sejuk beku seperti dada ayam beku, daging kambing beku, itik beku, dan katak beku. Turut ditemukan adalah makanan sejuk beku lain seperti shrimp dumpling, bun (pau), dan corn dumpling,” katanya.

Norlela menjelaskan bahawa semua barang dagangan tersebut tidak memiliki permit import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran palsu untuk mengaburi pihak berkuasa. Barang dagangan dalam kontena diikrar sebagai Frozen Dumpling dan Hand-Grasp Pan Cake bagi mengelak dikesan pihak kastam. Hasil siasatan menunjukkan dagangan ini dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengimportan daging dan makanan sejuk beku tertakluk kepada keperluan Permit Import seperti yang ditetapkan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang melibatkan kesalahan mengimport barang larangan tanpa permit sah. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (mana-mana yang lebih tinggi), dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (mana-mana yang lebih tinggi), atau hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas Norlela.

BBerkaitan

Latest articles