KUALA LUMPUR: Pelawak Harih Iskandar telah memberikan keterangannya kepada pihak polis berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam kelmarin.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, identiti seorang individu yang dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu, sedang dikenal pasti.
“Setakat ini satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini polis menerima 16 laporan polis berkaitan isu itu di seluruh negara,” katanya memetik laporan BH.
Selasa lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ham sap kopi berharga RM5.50.
Menu dipercayai merujuk kepada kopi masin yang dipercayai dijual menerusi kenderasaji yang dimuat naik di status Facebook Harith Iskander pada 18 Januari lalu.
Semakan di Facebook selebriti itu yang mempunyai satu juta pengikut, mendapati hantaran terbabit dimuat naik pada Sabtu lalu.
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara”.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran itu yang disudahi emoji wajah tertawa hingga keluar air mata.
Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.