Kertas Siasatan Murid Cedera Ditampar, Ditumbuk Guru Diserah Kepada TPR

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang murid sebuah sekolah rendah di Bagan Serai menjadi mangsa pukul seorang guru sehingga mengalami kecederaan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Juna Yusoff berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada ibu kepada murid terbabit yang mendakwa anaknya cedera akibat dipukul seorang guru lelaki berusia 30 tahun pada 10 Disember lepas.

Bagaimanapun wanita berusia 40 tahun itu kemudiannya menarik semula laporan polis yang dibuat pada keesokan harinya kerana enggan memanjangkan kes tersebut.

“Bagaimanapun, baru-baru ini pengadu sekali lagi tampil membuat satu laporan polis memohon pihak polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru lelaki terbabit,“ katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Justeru, Juna meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Katanya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan (IPD) Kerian di talian 05-721 2222.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk gurunya sehingga mengalami gegaran dalam telinga. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles