KUALA LUMPUR: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 tahun ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat, terutamanya pada suku pertama 2025 yang memerlukan perbelanjaan isi rumah lebih tinggi berbanding biasa.
Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pada suku pertama tahun ini, perbelanjaan isi rumah dijangka meningkat kerana rakyat berdepan dengan kos perayaan seperti Tahun Baru Cina, Thaipusam, Ramadan, dan Hari Raya, selain kos permulaan sesi persekolahan bagi keluarga yang mempunyai anak.
“Bagi isi rumah golongan B40 dan M40, mereka amat memerlukan bantuan tunai tambahan, dan STR Fasa 1 dilihat tepat pada masanya,” katanya ketika dihubungi.
Ahmed Razman juga menyatakan bahawa pembayaran STR yang dibuat tepat pada waktu mampu membantu rakyat sambil memberikan kesan yang signifikan kepada peningkatan ekonomi setempat.
Beliau berpendapat bahawa program ini bukan sahaja perlu diteruskan, tetapi kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar bantuan selagi masih terdapat isi rumah yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Dengan pelaksanaan rasionalisasi petrol RON95 yang dijangka pada tahun ini, jumlah peruntukan STR boleh dinaikkan lagi pada tahun hadapan untuk mengurangkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat,” tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan telah mengumumkan bahawa pembayaran STR Fasa 1 tahun 2025 akan mula disalurkan secara berperingkat bermula 22 Januari 2025.
Menurut laporan, langkah ini adalah susulan daripada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) minggu lalu dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara meskipun berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, khususnya dalam menghadapi fenomena global peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, program STR dan SARA pada tahun 2025 dijangka memberi manfaat kepada hampir 9 juta penerima, yang merangkumi 60% daripada populasi dewasa di Malaysia.
Kadar maksimum bantuan bagi isi rumah telah dinaikkan kepada RM4,600 pada tahun ini, meningkat hampir 25% berbanding RM3,700 pada tahun lalu.
Selain itu, kadar minimum bantuan untuk golongan bujang turut dinaikkan kepada RM600 daripada RM500, mencatatkan peningkatan sebanyak 20%.