JAKIM Akan Panggil Harith Iskander Berhubung Isu Komen ‘Ham’ dan Persenda Nabi

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pelawak Harith Iskander berkaitan hantaran di media sosial dan isu komen ‘ham’ yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajudin Suhaimee, pihaknya telah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

Selain itu, JAKIM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akaun serta menurunkan kandungan berkaitan.

“Semua pihak diminta untuk bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam atau menyinggung sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk mengamalkan sikap saling menghormati dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat, sambil menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan harus dihormati setiap masa.

Pada 20 Januari, selebriti Shahrol Azizie Azmi atau Shahrol Shiro telah membuat laporan polis berkaitan hantaran media sosial Harith.

Dalam laporan yang dikongsi di Facebook, Shahrol turut membuat aduan terhadap seorang individu bernama Cecelia Yap Song KL.

Shahrol menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, mendakwa hantaran Harith dan komen Cecelia menghina kesucian Islam dan mempermainkan nama Nabi Muhammad.

Sebelumnya, Harith memuat naik hantaran di Facebook dengan jenaka bahawa ‘iman tergugat’ apabila dia mempertimbangkan untuk menikmati ‘Ham Sap Kopi’.

Jenaka itu dibuat di tengah-tengah kontroversi mengenai sandwic ‘ham & cheese’ yang didakwa tidak memiliki perakuan halal dan dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.

BBerkaitan

Latest articles