KUALA LUMPUR: Pemberian tol percuma sempena musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat memandangkan kerajaan juga terpaksa menanggung pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi tol.
Jelas beliau walaupun pampasan itu tidak diberikan secara tunai, katanya, tempoh konsesi tol terpaksa dipanjangkan.
“Langkah itu bukan saja membebankan kerajaan tetapi juga gagal mengurangkan kesesakan,” katanya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.
Ahmad Zahid turut menasihati pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan dengan lebih baik tanpa bergantung pada tol percuma.
“Pengguna harus mengubah cara menggunakan jalan raya, terutama ketika musim perayaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Alexander dipetik berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
“(Tol percuma untuk Tahun Baharu Cina) Kalau ikut keputusan itu (Kabinet) tiada.
“Kalau ada mungkin ada pertimbangan lain, kita akan umumkan.
“Kerajaan juga telah menyelaraskan subsidi untuk pendekatan yang lebih bersasar bagi rakyat Malaysia yang perinciannya kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.