Pengasuh Mengaku Tak Salah Sebabkan Kematian Bayi Sembilan Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi berusia sembilan bulan sehingga membawa kematiannya, bulan lalu.

Tertuduh, Chia Muy Hoong, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, menurut Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, dia sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dengan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala sehingga membawa kepada kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Jalan Intan 4, Taman Intan Jaya, Mersing antara 6 Dis hingga 12 Jan lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu mahkamah boleh memerintahkannya berkelakuan baik dalam tempoh dan syarat yang ditetapkan oleh mahkamah, dan menjalani khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di Balai Polis dan larangan mengganggu mana-mana saksi terutama keluarga mangsa.

Bagaimanapun Peguam Amy Law Siew Tin, yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menyara keluarga dan menjaga suami berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di IPD Mersing setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Feb depan untuk serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles