Pelajar Kolej Tak Mengaku Abai Anak Baru Dilahirkan Sehingga Mati

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak hingga menyebabkan kematian di Taman Scientex, Pasir Gudang, minggu lalu.

Nur Athirah Ramli, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ibu yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi itu telah mengabaikan bayi tersebut sehingga menyebabkan kematian.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 7.15 pagi di Jalan Kijang, Taman Scientex, Pasir Gudang, pada 13 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Κanak-kanak (Pindaan) 2006, dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, atau dengan denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam Izzat Mokhtar.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, berdasarkan fakta kes, pelajar kolej itu menyedari dia hamil anak teman lelakinya dan mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut dengan memakan pil perancang.

Katanya, pada hari kejadian, wanita itu mengalami sakit perut dan melahirkan bayi perempuan yang cukup sifat walaupun dalam keadaan tidak cukup bulan di sebuah rumah sewa bersama-sama rakannya di Taman Scientex.

Menurut Mohd Sohaimi, wanita itu kemudiannya keluar bersama-sama teman lelakinya dengan meninggalkan anaknya itu seorang diri di dalam bilik.

“Setelah keluar beberapa jam dengan teman lelakinya, wanita itu pulang ke rumah sewanya dan mendapati bayi perempuan yang baru dilahirkan itu sudah tidak bernyawa.

“Rakan sebiliknya yang panik dengan situasi itu menghubungi pihak polis. Polis telah membuka siasatan atas kesalahan pengabaian anak setelah ia tidak diberikan rawatan atau dirujuk ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

BBerkaitan

Latest articles