KUALA LUMPUR: Semakan ke atas permohonan penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah tidak lengkap menyebabkan ia dilarang untuk diadakan pada Sabtu ini.
Terdahulu himpunan itu akan berlangsung dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.
“Notis Pemberitahuan perhimpunan tersebut tidak lengkap dengan tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
“Respons terhadap Notis Pemberitahuan himpunan itu telah diberikan kepada pihak penganjur pada 17 Januari lalu, supaya memenuhi peruntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang kerana tindakan tegas akan diambil.