KUALA LUMPUR — Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 tahun 2025 akan mula disalurkan secara berperingkat pada 22 Januari 2025.
Langkah ini adalah susulan daripada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) minggu lalu, dengan peruntukan RM2.3 bilion, meningkat berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara walaupun berhadapan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Langkah ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, khususnya dalam menghadapi fenomena global peningkatan kos sara hidup,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya program STR dan SARA pada tahun 2025 dijangka memanfaatkan hampir 9 juta penerima, iaitu merangkumi 60% daripada populasi dewasa di Malaysia.
Kadar maksimum bantuan bagi isi rumah telah dinaikkan kepada RM4,600 tahun ini, meningkat hampir 25% berbanding RM3,700 tahun lalu.
Selain itu, kadar minimum bantuan untuk golongan bujang turut dinaikkan kepada RM600 daripada RM500, yang mencatatkan kenaikan sebanyak 20%.
Pembayaran STR Fasa 1 akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR. Bagi penerima yang tiada akaun bank, bantuan akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut jadual kategori kelayakan masing-masing.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa permohonan baharu dan kemaskini maklumat bagi STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Rakyat diseru untuk sentiasa berhati-hati terhadap pautan palsu yang mungkin disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab
Soalan lazim (FAQ) dan status kelayakan penerima STR boleh dirujuk di portal rasmi tersebut dan Pihak Kementerian menasihatkan orang ramai agar hanya merujuk kepada sumber maklumat yang sahih katanya.