Ada Peruntukan Undang-undang, Polis Tak Boleh Periksa Telefon Bimbit Orang Awam Sesuka Hati

KUALA LUMPUR: Setiap pegawai polis tertakluk kepada bidang kuasa dan peruntukan perundangan, demikian menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .

Beliau juga menegaskan bahawa pegawai polis tidak boleh menahan mana-mana individu untuk memeriksa telefon bimbit mereka tanpa alasan yang sah.

“Ini bukan tentang sesiapa sahaja diminta menyerahkan telefon mereka.

“Polis mesti mempunyai asas yang jelas, seperti risikan yang mencadangkan seseorang individu terlibat dalam aktiviti jenayah, untuk menjalankan pemeriksaan sedemikian.

“Kita ada undang-undang dan polis mesti bertindak dalam skop mereka,” katanya.

Saifuddin turut menggesa orang ramai membuat laporan polis sekiranya polis memeriksa telefon mereka tanpa alasan yang munasabah.

“Terdapat 395,000 laporan polis dibuat setiap bulan. Apa yang menghalangnya?,” tambahnya.

Saifuddin terdahulu diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada minggu lalu yang dilaporkan berkata polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.

Razarudin berkata pegawai polis berpangkat inspektor atau lebih tinggi mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun kenyataan Razaruddin mengundang rasa kurang senang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) apabila ia menggesa kerajaan menjelaskan dakwaan Razarudin.

Suhakam menyifatkan kenyataan Razarudin sebagai merisaukan dan berkata polis tidak boleh dibenarkan memeriksa telefon seseorang dengan sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau akan meminta Razarudin membincangkan perkara itu dengan Suhakam.

“Adalah penting bagi Suhakam untuk memahami skop apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh polis dan untuk membantu mendidik orang ramai mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata perlu ada keseimbangan antara keselamatan dan hak asasi manusia, sambil menyatakan walaupun risikan kadangkala menunjukkan individu sebagai suspek dalam aktiviti berkaitan keganasan, undang-undang sedia ada mungkin mengehadkan tindakan polis.

“Risikan mungkin mencadangkan bahawa seseorang itu menimbulkan risiko keselamatan, tetapi undang-undang pada masa ini tidak membenarkan kita memeriksa peranti mereka. Inilah sebabnya mengapa terdapat keperluan untuk peruntukan undang-undang khusus untuk menangani situasi sedemikian.

“Ia adalah mengenai untuk memastikan tindakan tidak diambil secara sembarangan. Polis mesti bertindak berdasarkan risikan dan alasan undang-undang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles