BRUSSELS, 19 Januari – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan misi diplomatik ke Belgium pada 19 dan 20 Januari, selepas menyempurnakan lawatan kerja di London, United Kingdom. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Belgium, serta mempererat kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU).
Jadual padat Perdana Menteri termasuk mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium, Alexander De Croo, dan pertemuan bersama Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa. Beliau juga dijadualkan menyampaikan ucapan khas di College of Europe, sebuah institusi terkemuka dalam pengajian Eropah.
“Insya-Allah, segala ruang dan platform yang ada ini akan saya gunakan seluas-luasnya bagi membawa suara Malaysia, yang kini juga merupakan Pengerusi ASEAN, khususnya dalam isu kerjasama, sinergi pelaburan, serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantarannya di laman Facebooknya malam ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam mengetengahkan kepentingan kerjasama pelaburan dan dialog terbuka antara ASEAN dan EU, selain menangani cabaran global bersama seperti perubahan iklim dan pembangunan mampan.
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan diplomatik, perdagangan, dan ekonomi antara Malaysia dan negara-negara Eropah, serta meningkatkan pengaruh Malaysia dan ASEAN dalam arena antarabangsa.