Derita Makan, Minum, Tidur Dengan Lalat Selama Tiga Tahun

KUALA LUMPUR: 500 penduduk Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat di Kuala Langat, terpaksa berdepan serangan ribuan lalat setiap hari sejak tiga tahun lalu.

Masalah ini didakwa berpunca daripada sebuah premis ternakan ayam yang terletak berhampiran Kawasan perumahan berkenaan.

Akibat serangan lalat ini, kualiti kehidupan penduduk terjejas selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

Seorang penduduk, Nasarudin Ngodio, 45, berkata rumahnya adalah yang paling teruk terjejas kerana hanya terletak kurang 200 meter dari premis tersebut.

Menurut bapa kepada empat anak itu, gangguan lalat semakin teruk sehingga dia terpaksa membeli ratusan pelekat perangkap lalat setiap bulan dan memasang kelambu untuk tidur.

“Ribuan lalat itu ada tanpa mengira masa, sama ada siang atau malam, terutama ketika memasak makanan.

“Selain rasa tidak selesa, ramai penduduk termasuk anak saya mengalami cirit-birit akibat keracunan makanan,” katanya ketika ditemui selepas membuat bantahan aman bersama 100 penduduk hari ini.

Tambah beliau, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut, Saluah Mundagir, berkata masalah serangan lalat semakin serius berikutan penambahan jumlah reban di premis berkenaan.

“Kami tidak kisah jika jumlah lalat itu kecil dan segala prosedur ditetapkan dipatuhi dengan baik.

“Namun, masalah ini terus berlaku sehingga menjejaskan lebih 100 buah keluarga. Kami mahu premis itu ditutup atau dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles