Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Di Johor: Langkah Bijak Untuk Pengangkutan Bandar

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor dilihat sebagai langkah bijak bagi menampung keperluan pengangkutan awam yang semakin mendesak di kawasan bandar, terutama menjelang siapnya projek Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura kelak.

Inisiatif berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan menawarkan alternatif yang lebih pantas, cekap serta mesra alam. Menurut pakar, kos pembinaan serta operasi ART adalah jauh lebih rendah berbanding sistem pengangkutan rel seperti LRT, selain masa pembinaannya yang lebih singkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Metro System Academy, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah berkata, pemilihan ART dapat menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan awam sedia ada berikutan beberapa kelebihan yang dimilikinya.

“Kos pembinaan infrastruktur ART adalah lima hingga sepuluh kali ganda lebih murah berbanding LRT kerana ia tidak memerlukan landasan rel khas. Sebaliknya, ART boleh menggunakan laluan jalan raya dengan lorong khusus yang mudah disesuaikan,” katanya.

Beliau menambah, kelebihan dari segi kos operasi dan penyelenggaraan juga menjadi faktor utama kerana penggunaan tenaga elektrik dan laluan jalan raya yang kurang kompleks membolehkan perbelanjaan bagi penyelenggaraan diturunkan sehingga 20 hingga 30 peratus.

Masa pembinaan lebih singkat

Dari segi tempoh pembinaan, ART berupaya dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sahaja. Hal ini berbeza dengan projek pengangkutan rel seperti LRT yang lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh tahun berikutan keperluan kejuruteraan kompleks, termasuk pembinaan terowong dan jambatan khas.

“Mengambil contoh di Zhuzhou, China, sistem ART berjaya direalisasikan dalam tempoh yang singkat kerana ia memanfaatkan rangkaian jalan sedia ada dengan penyesuaian minimum,” katanya.

Fleksibiliti dan keselamatan
Sistem ART turut menawarkan fleksibiliti yang tinggi kerana ia tidak terikat kepada laluan rel tetap. Laluan boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa, sekali gus memudahkan perancangan bandar yang lebih dinamik. Hal ini juga memudahkan proses penyelenggaraan; jika kenderaan ART mengalami kerosakan, ia boleh segera diganti tanpa menjejaskan keseluruhan operasi.

Dari segi keselamatan, ART beroperasi pada kelajuan yang lebih terkawal berbanding tren rel laju, manakala kedudukannya di atas jalan raya memudahkan proses pemindahan penumpang sekiranya berlaku kecemasan.

Sokong pembangunan hijau

Menyentuh mengenai Pembangunan hijau, Mohd Fahmy turut menegaskan bahawa penggunaan tenaga elektrik pada ART mampu mengurangkan tahap pencemaran di kawasan bandar, selari dengan agenda bandar hijau dan pembangunan lestari. Pengurangan penggunaan kenderaan persendirian diharap dapat membantu mengurangkan kadar pelepasan karbon, selain meningkatkan kualiti udara di pusat bandar.

“Apabila sistem ART beroperasi sepenuhnya, ia bukan sahaja mengalihkan lebih ramai pengguna ke pengangkutan awam, bahkan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan akses masyarakat tempatan,” ujarnya.

Keupayaan ART untuk diintegrasikan dengan teknologi moden seperti sistem tiket elektronik, aplikasi pintar dan analisis data penumpang juga seiring dengan matlamat menjadikan Johor—khususnya Iskandar Malaysia—sebagai bandar pintar.

Pelaksanaan ART dijangka menjadi model pengangkutan awam masa depan yang lebih mesra belanjawan dan mesra alam, sekaligus menepati keperluan mobiliti moden di kawasan bandar pesat membangun seperti Johor Bahru katanya.

BBerkaitan

Latest articles