Ungkap ‘Palui’ Seolah-olah Perlekeh Orang Sabah

KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) akan membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengungkapkan perkataan ‘palui’ ketika berucap pada program Jelajah Sabah Bersatu di Sepanggar, pada Khamis lalu.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tindakan mengungkapkan perkataan sedemikian sebagai perbuatan biadap.

Walaupun Hamzah mungkin menujukan ungkapan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, namun ia telah mengguris hati dan perasaan rakyat negeri itu.

“Perkataan ‘palui’ atau ‘bodoh’ tersebut mungkin ditujukan khas kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Namun siapa sahaja individu yang dimaki atau dihina oleh orang luar, ia akan menyebabkan solidariti kami ke atas mereka,” katanya menerusi satu kenyataan seperti yang dilaporkan MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu video Hamzah yang juga Ketua Pembangkang tular di media sosial ketika beliau berucap pada program Jelajah Sabah Bersatu di Sepanggar, pada Khamis.

Zulkarnain yang juga Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabah akan menggerakkan ahli-ahlinya membuat laporan polis di seluruh Sabah bermula hari ini dan esok.

“Ia bagi memastikan tindakan tegas dapat kenakan ke atas Hamzah,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah digesa menggunakan kuasa imigresen untuk menghalang pemimpin dan aktivis politik bersikap sebegini daripada Semenanjung memasuki Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah perlu menghalang mereka yang mempunyai sejarah atau perilaku menghina dan berpotensi melakukan huru-hara di Sabah.

“Sebelum ini Fahmi Reza juga telah menghina orang Sabah dengan melukis karikatur jelik dan perbuatan ini telah membangkitkan kemarahan majoriti rakyat Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, rakyat Sabah sebenarnya tidak rasis dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

“Tindakan memperlekehkan orang Sabah dengan caci maki oleh ahli-ahli politik dari Semenanjung dilihat semakin menjadi-jadi.

“Ia sewajarkan dihentikan melalui tindakan menghalang mereka menjejakkan kaki ke Sabah,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles