Gara-gara Lori ‘Tak Lepas’ Pemeriksaan, Lelaki Tampar Kakitangan Puspakom

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan video yang tular memaparkan seorang kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditampar oleh seorang pelanggan adalah kejadian lama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, memaklumkan insiden tersebut berlaku pada jam 5.40 pagi, 8 November tahun lalu, di Puspakom Taman Daya.

“Satu laporan polis telah diterima daripada mangsa, seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan kakitangan Puspakom.

“Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun, bertindak menampar mangsa selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial untuk mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sebelum ini, video yang tular itu menunjukkan seorang pelanggan lelaki menampar seorang kakitangan Puspakom. Insiden tersebut dipercayai berlaku di Puspakom Cawangan Johor Bahru selepas pelanggan terbabit tidak berpuas hati dengan keputusan pemeriksaan yang mendapati lorinya gagal memenuhi syarat kelulusan teknikal.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang warga emas berbaju kuning memanggil kakitangan tersebut sambil menunjukkan sekeping kertas, dipercayai keputusan pemeriksaan kenderaan. Lelaki itu kemudian secara tiba-tiba menampar kakitangan tersebut, menyebabkan situasi menjadi tegang.

BBerkaitan

Latest articles