Megat Batal Hasrat Bertanding Jawatan Presiden FAM

KUALA LUMPUR: Kekangan masa menyebabkan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin membatalkan niatnya untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu yang akan berlangsung bulan depan.

Megat berkata pada masa ini beliau mahu menumpukan perhatian kepada tanggungjawab sedia ada di Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta beberapa lagi dalam persatuan sukan lain.

“Memang pada awalnya saya amat berminat untuk bertanding, tetapi dalam keadaan kekangan masa saya yang sibuk, saya menangguhkan niat itu dulu.

“Secara peribadi, saya memang berminat membantu sukan bola sepak negara, tetapi mungkin belum masa lagi.

“Tugas presiden bukan hanya pada gelaran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab besar kepada rakyat yang mengharapkan perubahan positif serta mencapai sasaran,” katanya.

Megat memaklumkan beliau ketika ini berada di India atas urusan kerja dan tidak sempat menghantar pencalonan.

“Hari ini sudah tarikh akhir, jadi saya memang tidak sempat untuk menghantar pencalonan. Saya kini berada di luar negara atas urusan kerja,” katanya.

Sebelum ini, Megat yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu mengumumkan tidak akan mengambil gaji sekiranya terpilih menerajui badan induk itu.

BBerkaitan

Latest articles