Malaysia Perkukuh Hubungan Dua Hala Dengan UK

London, UK – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London dimulakan dengan mesyuarat dua hala antara Malaysia dan United Kingdom yang melibatkan pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara.

Perdana Menteri Malaysia mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Keir Starmer, dan menyatakan penghargaan atas jemputan rasmi ke negara ini bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik dalam sektor pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga, serta kecerdasan buatan. Selain itu, isu kemanusiaan di Gaza turut dibincangkan sebagai sebahagian daripada agenda mesyuarat katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya sebentar tadi.

Menurutnya Hal-hal yang dibincangkan akan dibawa ke peringkat kementerian masing-masing bagi memastikan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun. Ini dijangka mempercepatkan pencapaian matlamat bersama antara kedua-dua negara.

Sebagai lawatan pertamanya ke Eropah selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Malaysia turut menyatakan kesediaan negara untuk menerima lebih banyak pelaburan dari luar. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk membentuk sinergi ekonomi baharu serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau katanya.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian akan menghadiri majlis pelancaran produk oleh YTL Group UK.

UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara ialah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) setakat Nov 2024.

BBerkaitan

Latest articles