Polis menahan pengarah urusan sebuah syarikat pelancongan yang dikatakan gagal menerbangkan bakal jemaah umrah.
Lelaki terbabit ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Selangor pada petang tadi selepas selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama bakal jemaah di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.
Difahamkan penahanan terbabit susulan laporan polis dibuat oleh bakal jemaah yang terjejas.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, polis turut menyerbu pejabat syarikat itu di Sepang dan merampas beberapa dokumen berkaitan.
Hussein berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan berkata pihaknya juga sedang menyiasat syarikat pelancongan itu.
Syarikat pelancongan tersebut didakwa gagal menyediakan tiket, hotel, dan visa untuk 300 bakal jemaah umrah yang sepatutnya berlepas pada Isnin lalu.
Susulan itu, ada diantara mereka yang ‘berkampung’ di luar premis syarikat bagi menuntut kembali wang mereka.