KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak permohonan Habeas Corpus Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Azura Md Yusof, yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hakim Abu Bakar Katar ketika membaca keputusannya berkata, ketika Notis Usul permohonan Habeas Corpus itu difailkan pada 24 Oktober lalu, pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA.
Menurutnya, pemohon-pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dan sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik.
“Selepas meneliti hujan lisan dan bertulis semua pihak, mahkamah ini membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden.
“Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus difailkan, pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar.
“Pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik,” katanya semasa prosiding berkenaan, menurut Sinar Harian.
Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Dalam pada itu, peguam pemohon Rosli Kamaruddin berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, minggu depan.
Pada prosiding hari ini, responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim dan Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.
Selain Rosli, pemohon turut diwakili barisan peguam, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan seorang lagi individu, Suhaimi Mohd Sani, 28, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.