KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Muar mengetepikan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap seorang bapa tunggal selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang, Rabu lalu.
Hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan penjara 10 hari bermula dari tarikh ditahan, 4 Januari yang mana ia akan dibebaskan daripada tahanan hari ini.
Dalam penghakiman ringkas, Meor Hashimi berkata, penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, 35, oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat adalah terlalu berat.
“Mahkamah percaya keputusan dibuat oleh majistret tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
“Justeru, mahkamah memutuskan hukuman itu (penjara tiga bulan ) diketepikan dengan tertuduh dipenjara 10 hari bermula tarikh ditangkap,” hujahnya dalam prosing semakan kehakiman, lapor Berita Harian pada Isnin.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semakan kehakiman itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Minggu lalu, Muhammad Fadil dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit.
Insiden itu berlaku 4 Januari lalu, jam 9:45 pagi selepas pemilik kebun menyedari peningkatan kecurian pisang ‘rastali’ miliknya.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang juga kelindan lori ditahan selepas mangsa membuat laporan polis sebaik melihat kelibat lelaki itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebunnya.