KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempersoalkan sejak bila ham dianggap halal sehingga boleh mendapat sijil halal pada bungkusannya.
Beliau membangkitkan isu penjualan ‘sandwic ham’ di kedai KK Mart di Universiti Malaya seperti yang tular, baru-baru ini.
Mengingatkan rangkaian pasar raya itu bahawa “luka lama” berhubung kontroversi stoking masih belum sembuh, dia mempersoalkan pensijilan halal untuk sandwic itu.
Dalam video yang disiarkan di Facebook, Adun Merlimau itu berkata ‘ham’ dikaitkan dengan daging babi.
“…Okaylah, mungkin dijual untuk orang bukan Islam, ini masih boleh diterima. Tapi tengok balik bungkusan tu, ada logo halal.
“Saya nak tanya KK Mart, sejak bila ham dianggap halal dan bagaimana produk ini mendapat logo halal?” soalnya.
Memetik laporan Malaysiakini, ketika dimaklumkan bahawa terdapat juga ham ayam, ketua Pemuda UMNO itu memberitahu bahawa mengikut keperluan, logo halal mesti menyatakan perkara ini tetapi ia tidak dilakukan.
“Orang tak marah awak jual ham, orang marah logo halal.
“Jadi saya menyeru Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk menjelaskan sama ada logo halal sandwic itu tulen atau sebaliknya,” tambahnya.
Sehubungan itu Akmal menggesa polis dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita sebagai orang Islam, ini bukan kali pertama. Ini adalah kali kedua. Cukuplah mereka ini mempersendakan agama kita,” katanya lagi.
Sabtu lalu, UM telah mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan KK Mart di kampusnya berhubung penjualan sandwic itu.
UM berkata ini berikutan kebimbangan terhadap pelabelan halal produk itu dan untuk memastikan siasatan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Didapati pek produk sandwic berlabel ‘sandwic ham dan keju’ dan penggunaan logo halal pada produk di kedai adalah diragui.
“Oleh itu premis itu akan ditutup sehingga diberitahu kelak,” katanya.