Putrajaya, 12 Januari 2025 – Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan peruntukan bagi pembangunan bola sepak negara, khususnya bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya.
Peruntukan yang sebelum ini diumumkan sebanyak RM15 juta dalam Belanjawan 2025 kini dinaikkan kepada RM30 juta, di mana tambahan RM15 juta akan dibiayai oleh pihak swasta. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan Harimau Malaya menjadi antara kuasa besar bola sepak Asia.
Menurut Perdana Menteri, dana ini akan digunakan untuk meningkatkan program pembangunan bola sepak di semua peringkat, memastikan skuad kebangsaan lebih kompetitif dalam kejohanan antarabangsa, serta memperkukuh pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Dana ini akan membantu pembangunan pemain pelapis Harimau Malaya, dengan memberikan lebih banyak pendedahan kepada skuad bawah-23 negara. Ini akan memastikan pasukan utama sentiasa mempunyai barisan pemain yang berpengalaman dan bersedia menghadapi cabaran antarabangsa,” kata beliau.
YAB Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, terus memberikan sokongan kepada Harimau Malaya berdasarkan pengalaman serta jaringan luas Baginda dalam dunia bola sepak antarabangsa.
“Pengetahuan dan hubungan Pemangku Sultan Johor dengan kelab serta tokoh bola sepak dunia merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh pasukan Harimau Malaya,” tambahnya.
Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan kebangsaan dan pasukan pengurusan dalam usaha mengangkat nama Malaysia ke peringkat tertinggi bola sepak antarabangsa.