Hilang Sejak Khamis, Noor Amni, Rakan Akhirnya Ditemui Di Ampang

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan Noor Amni Nazaranee yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, di Ampang pada awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Shan Gopal Krishnan berkata, laporan kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun itu dibuat oleh ibunya pada jam 1.40 pagi Jumaat.

Tambah beliau, ibu mangsa mendakwa anaknya itu telah keluar dari rumah di Taman Bandar Bukit Puchong, Sepang sekitar jam 5 petang Khamis.

“Hasil maklumat orang awam, remaja perempuan itu telah dijumpai semula dalam keadaan selamat dan tiada apa-apa kejadian jenayah berlaku.

“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 3.05 pagi tadi di sebuah masjid di kawasan Ampang, Selangor,”

“Sepanjang kehilangannya, remaja itu berada di kawasan Shah Alam, Cheras dan terakhir di Ampang bersama seorang rakan perempuan yang juga berusia 14 tahun dari sekolah yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, rakan kanak-kanak itu juga merupakan kes orang hilang (OH) bagi kes IPD Subang Jaya dan mereka telah diserahkan kepada ibu bapanya.

“Pihak IPD Sepang mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama dan perkongsian maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada penemuan kanak-kanak terbabit,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles