KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia tujuh tahun maut akibat pendarahan kepala disyaki didera ibu kandung dan teman lelaki, dalam kejadian Taman Bukit Ampang, Selangor.
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail, berkata mangsa turut mengalami kesan lebam pada muka, leher, tangan, dan kaki.
Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan ibu kandung dengan teman lelaki, masing-masing berusia 25 dan 36 tahun, sekitar 5.15 petang semalam.
Azam berkata, suspek lelaki disahkan positif dadah amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai tiga rekod lampau.
“Mangsa disyaki dipukul dengan benda keras dan tumpul secara berulang dan meninggal dunia di rumah.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah kerana pendarahan dalam kepala,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 17 Jan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.