Perdana Menteri Sampaikan Bantuan Ko-Khawan Untuk Golongan Memerlukan Di Permatang Pauh

Bukit Mertajam — Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia buat julung-julung kalinya mengadakan program bantuan berskala besar di Parlimen Permatang Pauh, dengan sumbangan disampaikan sendiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Sumbangan barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar serta barangan keperluan dapur untuk 6,500 keluarga B40 menjadi fokus utama program tersebut yang diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.

Pengerusi Ko-Khawan, Dato’ Eng Yee Koon berkata kehadiran Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyantuni golongan yang memerlukan.

“Sebagai penganjur, kami amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini. Ia membuktikan bahawa kedua-dua Perdana Menteri dan Ketua Menteri mempunyai matlamat yang sama dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” kata Eng Yee Koon.

Ditubuhkan tahun lepas (2024), Yayasan Muhibah Malaysia merupakan hasil inisiatif Ko-Khawan yang mempunyai 300 ahli dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar dari golongan B40.

“Fokus utama kami pada tahun lepas adalah menyediakan bantuan berkaitan pendidikan seperti uniform sekolah, komputer, yuran tuisyen dan program pembelajaran dalam talian kepada 1,000 pelajar di seluruh negara. Bantuan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan akademik walaupun berhadapan cabaran hidup akibat kemiskinan,” kata Eng Yee Koon.

Untuk program hari ini, beliau berkata pelajar sekolah rendah dan menengah dari Kumpulan B40 serta anak yatim menerima beg dan uniform sekolah serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat. Selain itu, setiap keluarga B40 pula menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dengan nilai setiap sumbangan dianggarkan RM100.

“Kami tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga kasih sayang dan harapan. Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dan perlu dibantu,” kata Eng Yee Koon.

Pihak penganjur turut menyediakan jamuan istimewa untuk lebih 6,000 tetamu yang hadir terutamanya para penerima bantuan. Mereka yang hadir turut berpeluang menerima pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Eng Yee Koon berharap lebih ramai usahawan berjaya akan menyertai Ko-Khawan serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang diperkenalkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40, terutamanya melalui kecemerlangan akademik.

BBerkaitan

Latest articles