BHEUU Sahkan Tidak Terima Dokumen Berkait Titah Adendum Dari Istana

KUALA LUMPUR: Tidak ada titah adendum atau dokumen berkaitan dengannya daripada pihak Istana Negara diterima Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memperincikan arahan supaya Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Agensi itu yang bertindak sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya.

BHEUU juga dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat lembaga itu kali ke-61 pada 29 Jan tahun lalu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mempertimbangkan permohonan dikemukakan Najib.

“BHEUU JPM sebagai urusetia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi di bawahnya dan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada Istana Negara berhubung perkara ini.

“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama BHEUU juga mengesahkannya pihaknya tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berhubung urusan Lembaga Pengampunan.

BHEUU JPM turut menjelaskan prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi dan semua dokumen berkaitan hanya boleh diakses ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles