Gagal Bayar Ansuran, Pemilik Nekad Bakar Motosikal Elak Ditarik Pihak Bank

Taiping, Perak – Sebuah insiden kekecohan yang berakhir dengan pembakaran motosikal oleh pemiliknya menjadi tular di media sosial hari ini.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang di Jalan Pokok Assam, Taiping, dipercayai berpunca daripada tindakan sekumpulan penarik kenderaan yang ingin menarik motosikal berkenaan. Difahamkan, pemilik motosikal itu gagal melunaskan bayaran ansuran selama hampir 20 bulan.

Dalam video yang tersebar, pemilik motosikal, seorang wanita berbaju merah, bertindak menyimbah minyak petrol sebelum membakar motosikal jenis Honda RSX tersebut. “Moto ini tidak bayar, sudah dekat 20 bulan,” kata salah seorang penarik motosikal. Pemilik motosikal pula mengakui tindakannya dengan berkata, “Saya yang bakar.”

“Kami dari JCL Credit Leasing Sdn Bhd mahu tarik motosikal ini. Dah 20 bulan tak bayar motosikal,” kata seorang lelaki dalam rakaman terbabit.

Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Taiping mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut. Menurut kenyataan pihak bomba, setibanya di lokasi, mereka mendapati motosikal itu telah terbakar sebanyak 80 peratus.

“Pegawai operasi membuat penilaian situasi dan mengamalkan konsep RECEO. Kebakaran hanya melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RSX dan tidak melibatkan mangsa.”

Pasukan bomba segera bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan air tangki jentera untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat insiden ini untuk tindakan lanjut. Kejadian ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan orang ramai memberi pelbagai pendapat mengenai tindakan pemilik motosikal tersebut.

BBerkaitan

Latest articles