Nahas Ayer Keroh: JPJ Diarah Ambil Tindakan Susulan Dan Segera

KUALA LUMPUR: Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menjalankan siasatan terperinci dengan segera berhubung punca kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di persimpangan tol Ayer Keroh, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, JPJ juga akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya juga perlu diambil terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Anthony, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan.

“Saya, bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh semalam, ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza turut menyebabkan 33 lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Beliau berkata, sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles