KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang sepatutnya dijadualkan di Pulau Langkawi, Kedah pada hari ini terpaksa ditangguhkan.
Ini kerana Prabowo memohon penangguhan beberapa hari kerana keadaan kesihatannya kurang baik.
“Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan secepat mungkin dan dapat meneruskan pertemuan antara dua negara ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sementara itu, dalam hantaran yang sama Anwar memaklumkan beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra di Langkawi Khamis ini.
Sabtu lalu, Anwar dalam sidang media khas di Subang, Selangor memaklumkan beliau akan menemui Prabowo dan Thaksin untuk membincangkan isu strategik serantau serta perkembangan Asean.
Katanya, pertemuan dua hala dengan Prabowo akan memfokuskan pengukuhan hubungan baik kedua-dua negara, selain membincangkan peranan penting Indonesia sebagai negara anggota Asean yang strategik.
Manakala pertemuan dengan Thaksin akan membincangkan pelbagai isu pembangunan serantau serta pendekatan diplomatik untuk menangani cabaran bersama.
Baru-baru ini, Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasminya dalam mempengerusikan Asean pada 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi Asean pada 1 Jan ini dengan tema Kepimpinan Asean 2025 Malaysia adalah ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.
Malaysia pernah memegang jawatan pengerusi Asean pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.