KUALA LUMPUR: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, pagi ini atas tuduhan melakukan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap remaja perempuan, di Tangkak, lima tahun lalu.
Kesemua tertuduh adalah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23; Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.
Salah seorang di antara enam tertuduh ini bakal melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu ini, manakal seorang lagi bakal berkahwin pada Mei depan.
Sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah Tangkak, antara jam 1.30 hingga 2 pagi, 20 Januari 2019.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat, pada malam kejadian, remaja perempuan itu datang ke rumah seorang daripada kenalan lelaki itu sebelum berehat dalam bilik tingkat atas rumah.
Dalam masa yang sama terdapat sembilan lelaki di rumah terbabit dan mereka secara berdua-dua naik ke tingkat atas sebelum melakukan perkara itu.
Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan mereka bertindak menangis dan menjerit hingga didengari jirannya.
Jiran kemudian keluar rumah sebelum dimaklumkan mangsa dia dicabul tertuduh dan bertindak menghubungi polis sebelum kesemua tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa ataupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 27 Januari ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam semua tertuduh.