ALOR GAJAH: Mahkamah Majistret menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes bekas guru dituduh membunuh seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi, pada Disember tahun lalu.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menetapkan tarikh itu selepas Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Hidayu Abd Latif, memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.
Tarikh itu ditetapkan mahkamah selepas menerima cadangan daripada peguam mewakili tertuduh, K Veeranesh.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 19 Ogos lalu atas pertuduhan membunuh.
Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Shu Yee tetapi tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mayat Istiqomah ditemui di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 hingga 31 Disember 2023.
Sabit kesalahan, boleh dihukum gantung atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.
-BERNAMA