Jemaah Menteri terima cadangan bahagi fungsi peguam negara, pendakwa raya, kata PM

Jemaah Menteri telah menerima cadangan pembahagian fungsi antara peguam negara dan pendakwa raya dan seorang menteri telah ditugaskan bersama dengan pasukan petugas untuk menelitinya, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, draf kertas Jemaah Menteri mengenai perkara itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan, lapor Bernama.

Beliau mengakui isu tersebut cukup rumit dan mengambil masa untuk disiapkan kerana memerlukan banyak pindaan, termasuk Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini pasti akan berjaya dilaksanakan, diharapkan pada pertengahan tahun depan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, bersama kira-kira 100 wartawan tempatan dan antarabangsa.

“Saya belum lihat draf itu … tetapi kertas kerja yang dibentangkan setakat ini ialah keputusan dasar sama ada kita bersetuju dengan pengasingan itu yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.”

Khamis lepas, gabungan NGO menggesa Anwar mengumumkan garis masa yang jelas untuk pengasingan fungsi pendakwaan awam daripada Jabatan Peguam Negara.

Pada Mac 2023, Anwar mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pengasingan fungsi tersebut.

Pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya bertujuan meningkatkan kebebasan dan integriti sistem perundangan, memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh yang tidak wajar dan peguam negara boleh bertindak sebagai penasihat undang-undang yang tidak berat sebelah kepada kerajaan

BBerkaitan

Latest articles