Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Di Semenanjung 1 Jan-30 Jun 2025

KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, secara seseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2,388 juta.

Menurut Petra, langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.

“Kerajaan bersetuju agar kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna dikekalkan.

“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar adalah merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan pada 13 Dis turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (security, sustainability and affordability).

“Jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Jul 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion yang akan dibiayai kerajaan,” tambahnya.

Selain itu, kerajaan kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Jelasnya, semakan boleh dibuat menerusi https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.

Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

“Kerajaan berharap pengekalan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2025 ini akan menjamin pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha menggalakkan pelaburan sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles