KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih silambam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya sejak November lalu.
Terdahulu tertuduh yang berusia 38 tahun itu dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Kedu-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba payudaranya.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap adik mangsa berusia 13 tahun dengan cara membuatkan tangan kanak-kanak itu menyentuh kemaluan tertuduh kira-kira pukul 2 pagi 17 Disember 2024.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Perkota Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 9 pagi awal November 2024.
Dalam pada itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTK 2017.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Selain itu, tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri kepada pengawai penyiasat sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam R. Reena Nair bagaimanapun merayu jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kapada yuran bulanan sebagai jurulatih.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan bersama syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Kes akan disebut semula 28 Januari tahun depan.