PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju menerima tawaran syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan semula operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata persetujuan itu berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’ (no find, no fee) iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat itu jika tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
Katanya keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat oleh pakar dan penyelidik,” katanya dalam kenyataan.
Loke berkata, pencarian dianggarkan di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
Jelas Loke, kementeriannya sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity yang dijangka akan dimuktamad pada awal tahun 2025.