PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini sedang dalam usaha menterjemahkan beberapa karya penyair terkenal Turkmenistan, Magtymguly Pyragy ke dalam Bahasa Melayu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri berkata, Magtymguly terkenal dengan karyanya yang mencerminkan komitmen kepada keadilan, keamanan dan keperibadian yang luhur dalam menentang ketamakan serta penyalahgunaan kuasa.
Katanya Inisiatif ini akan memberikan makna besar kepada kerjasama yang lebih komprehensif antara negara-negara Muslim, dengan komitmen terhadap pembangunan dan keamanan,” kata Perdana Menteri dalam sidang media bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow, sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia hari ini.
“Sebagai tanda penghormatan dan kekaguman kami terhadap negara hebat ini serta kepemimpinan Presiden dan rakyat Turkmenistan, kami ingin menyampaikan penghargaan kepada penyair ulung Turkmenistan, Magtymguly Pyragy, yang kini sedang diraikan sempena ulang tahun ke-300 kelahirannya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia dan Turkmenistan komited untuk memperkukuh kerjasama melalui mekanisme kerjasama bersama yang dijangka diteruskan pada tahun hadapan.
“Kami telah melihat kekuatan kerjasama ini, termasuk sokongan terhadap sektor industri seperti Petronas Carigali. Komitmen ini akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara dalam mencapai keuntungan dan kejayaan bersama,” katanya.
Presiden Berdimuhamedow turut menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha ini dan menyeru agar lebih banyak peluang diterokai, terutamanya dalam bidang teknologi baharu yang mampu mencetuskan kemajuan signifikan untuk kedua-dua negara.
Turkmenistan dan Malaysia adalah penyokong yang kuat untuk membangun sistem perhubungan yang adil berdasarkan kepentingan negara-negara dan memperkuat peranan negara-negara di dunia politik katanya.