KUALA LUMPUR — YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), anak syarikat milik 60% YTL Power International Bhd, telah disahkan bebas daripada sebarang salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut pemakluman di dalam Bursa, Pengesahan itu berkaitan siasatan terhadap projek 1BestariNet, sebuah inisiatif penyediaan internet di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa siasatan telah selesai, dan tiada sebarang pertuduhan akan dikenakan terhadap YTL Comms,” kata syarikat itu dalam pemfailannya kepada Bursa Malaysia.
Pada 30 Oktober 2024, YTL Power telah menjelaskan bahawa YTL Comms dianugerahkan tender 1BestariNet selepas didapati sebagai penyedia yang paling memenuhi spesifikasi teknikal serta menawarkan kos yang paling berkesan di antara 18 pembida.
Keputusan ini, menurut syarikat itu, dibuat berdasarkan keupayaan dan merit syarikat berkenaan.
Pada bulan September, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan siasatan terhadap YTL Communications berkaitan projek tersebut.
Siasatan itu susulan maklumat baharu yang diterima daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan pada bulan Ogos, berserta laporan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dalam satu kenyataan, YTL Power memberi jaminan bahawa pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.